Saturday, July 17, 2010

Puteri Ummi - Bab 4


Pertama kali membelai bayi sendiri...
Pertama kali mendakap darah dagingku...
Satu perasaan indah menyelinap di kalbu..
Mungkinkah ini yang dinamakan perasaan seorang ibu?

Batrishya memang mudah dijaga. Alhamdulillah... dalam tempoh berpantang ini, serba serbi sempurna. Malam pertama tidur bersama Batrishya adalah kenangan indah buat aku dan suami. Tidur malamnya tidak tercela dek sinaran lampu atau bingit suara orang. Tenang...

Setiap kali aku merenung ke wajah Batrishya, segera pula aku memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana menganugerahkan puteri ini kepadaku. Sehingga kini, acapkali aku memandang tinggi keajaiban ciptaan ALLAH SWT kerana menciptakan satu nyawa di dalam rahim satu nyawa yang lain. 

Inilah anak yang ku kandung selama ini. Inilah zuriat ikatan cinta antara aku dan suami. Anugerah yang tidak ternilai harganya. Anak yang seringkali kudodoikan sebelum tidur, yang ku pujuk agar tidak lasak di kala malam menjelma, yang ku alunkan doa-doa agar kesihatan dan kesempurnaan dikurniakan padanya.

Hari ini, genap 37 hari Nur Batrishya Zulaiqha bt Ariff melihat dunia. Hari ini, senyum dan tangisnya menjadi irama yang menghiasi hari-hari ku. Perit jerih mengandung dan menahan kesakitan akibat melahirkan akan segera hilang bila aku melihat wajahnya. Wajah yang sering ku cuba bayangkan sewaktu dia masih di dalam rahim ku. Wajah yang kadang kala membuatkan tidur malam ku sering tersentak kerana bimbang tidurnya tidak lena. Wajah yang sering membuatkan senyuman terukir di bibirku.

Selamat malam Batrishya... Tidur lena... Ummi sayang Batrishya...

No comments:

Post a Comment