Tuesday, July 6, 2010

Puteri Ummi - Bab 3

Keranamu Batrishya...

Aku sanggup duduk di Naluri sehari lagi semata-mata kerana tidak mahu meninggalkan Batrishya keseorangan di sana walhal aku sudah dibenarkan pulang pada hari yang telah ditetapkan. Suami seolah-olah mengerti kegusaran di hatiku lalu bersetuju untuk bermalam sehari lagi. Wang ringgit tidak menjadi ukuran di saat ini. Yang penting, aku tahu anak ku selamat dan aku senang hendak berurusan dengan jururawat yang menjaga Batrishya. Kesian suami ku... ketidakselesaan sesungguhnya tidak menjadi penghalang baginya untuk menurut kehendakku sedangkan penat lelah sepanjang menjagaku di bilik ditambah pula dengan kerja-kerja kenduri Farah di kampung masih terasa.

Baru kini aku mengerti perasaan seorang ibu. Perasaan yang menginginkan anaknya sentiasa selamat dan kegusaran yang melanda apabila ianya melibatkan kesihatan anaknya. Perasaan itu tidak akan dapat dibendung lebih-lebih lagi pada anak sulung. Begitu juga aku. Airmata akan segera menitis apabila mengenangkan Batrishya keseorangan di nurseri aku tidak dapat mendakapnya seperti ibu-ibu yang lain.

Sejak hari ketiga lagi Batrishya telah dibenarkan berada bersama aku untuk beberapa jam sehari. Waktu-waktu indah itu ku penuhi dengan mengulitinya dan berbicara dengannya. Kadang kala terdetik di hatiku, bagaimana agaknya tubuh mongel itu sewaktu berada di dalam rahimku. Mengenangkan itu, bibirku acapkali mengukir senyuman. Tidak menyangka nyawa yang ku kandung itu lahir sempurna dan seiiras wajahku (walau pun sebenarnya itulah doa ku saban waktu).

Batrishya dibenarkan pulang akhirnya. ALLAH SWT sahaja yang mengetahui betapa gembiranya hati ku apabila menerima panggilan telefon dari jururawat mengatakan doktor telah memberi lampu hijau untuk aku membawa permata hati ku itu pulang. Segera pula aku hubungi keluarga mengkhabarkan berita itu. Aku bergegas berkemas dan tidak sabar untuk mengambil Batrishya.

Tepat jam 4 petang, panggilan telefon dari nurseri ku terima. Batrishya telah siap dan menunggu aku. Alahai anak Ummi... akhirnya Ummi dapat menggendong Batrishya dan merasa malam pertama tidur bersamamu...

No comments:

Post a Comment